Ketika para pemimpin Barisan Nasional (BN) saling berebut antara
satu sama lain siapakah bakal diletakkan sebagai calon dalam pilihan
raya kecil Hulu Selangor, PKR nampaknya memberikan tanda yang jelas
dalam majlis mereka malam tadi.
Ia semacam disahkan pula oleh
Twitter yang disebarkan oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
ketika majlis itu bermula. Ada empat pemimpin PKR yang menyertai majlis
perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' di Stadium Kuala Kubu malam tadi,
selain beliau sendiri.
"Alhamdulillah.. sambutan hangat. Sen SHusin, ybAzmin TSKhalid, ybSiva, DZaid." bunyi Twitter Anwar.
Ekoran
itu, nama Datuk Zaid Ibrahim semakin jelas akan menjadi calon PKR dalam
pilihan raya kecil ini kerana selain beliau semua pemimpin PKR yang
disebutkan sudah menjadi wakil rakyat di samping senator.
Datuk
Zaid, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, dilihat antara tokoh
nasional PKR yang perlu kembali ke Dewan Rakyat. Jika tidak, suara
beliau sukar untuk diberi perhatian sewajarnya.
Dipihak BN pula,
ramai yang menyerang MIC selepas nama timbalan presidennya, Datuk G
Palanivel diumumkan bakal menjadi calon BN sekali lagi di situ selepas
kalah dalam pilihan raya umum lalu.
Umno Hulu Selangor sendiri mahukan tokoh veteran Selangor Tan Sri
Muhamad Muhd Taib menjadi calon kononnya untuk mengulangi kejayaan
mereka dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang. Bekas MB, Datuk Dr
Muhamad Khir Toyo juga membantah cadangan MIC itu.
Menambahkan lagi kecenderungan ke arah itu adalah apabila Datuk Noh
Omar dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil tersebut dan ketua
Umno bahagian berkenaan, Datuk Mohamed Idris Bakar dilantik sebagai
timbalannya.
Dalam pilihan raya Bagan Pinang, Umno berjaya
mengekalkan kerusi itu bahkan berjaya menambahkan undi majoriti apabila
bekas MB Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad diletakkan.
"Jika
kita mahu mengembalikan kegemilangan di Bagan Pinang, tokoh veteran
Umno perlu diletakkan di sini. Kita yakin, kemenangan mudah bakal
dicapai," kata seorang pemimpin Umno Bahagian sebagaimana yang
dilaporkan oleh sebuah laman web.
Namun begitu, risiko yang
dihadapi Umno adalah 'merampas' kerusi MIC ketika parti yang mewakili
kaum India dalam BN itu sedang 'luka'. Sedangkan dalam masa yang sama,
19 peratus pengundi di sini adalah dari kaum India. Pengundi Melayu
adalah kira-kira 53 peratus manakala Cina 28 peratus.
Dalam
pilihan raya umum 2008, calon BN, Datuk G Palanivel tewas kepada kepada
calon PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia semalam
akibat barah otak.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)
akan memanggil pilihan raya kecil bagi kawasan tersebut dalam tempoh 60
hari. SPR pula akan bermesyuarat Jumaat depan untuk memutuskan
tarikhnya.
Walaupun ia merupakan kerusi majoriti Melayu, tetapi
ianya telah diperuntukkan kepada MIC sejak sekian lama. Jika mencari
kerusi majoriti India nescaya tidak adalah calon MIC yang dapat
bertanding. G Palanivel menang pada pilihan raya 1999 dan 2004, tetapi
tewas kepada Zainal Abidin pada 2008. Zainal Abidin mendapat 23,177
undi untuk menang tipis dengan 198 undi. Palanivel pula mendapat 22,979
undi.
Pujukan yang dibuat Umno kepada MIC adalah parti itu akan
diberikan kerusi lain dalam pilihan raya umum nanti. Tetapi, kerusi
manakah itu, belum disebutkan lagi. Ini menyebabkan ramai pemimpin MIC
beranggapan ini janji kosong Umno sahaja.
Walaupun tuntutan agar
PKR juga meletakkan calon India dalam pilihan raya ini berkumandang
juga namun jika PKR terus dengan calon Melayu ia tidak berapa sukar.
Ini kerana, kerusi ini dimenangi dalam pilihan raya 2008 lalu melalui
calon Melayu iaitu Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Jadi jika
Datuk
Zaid yang bertanding, ia bakal diterima dengan baik. Tambahan pula,
jika Zaid yang terpilih, ia lebih senang kerana dia sangat diterima
baik oleh India, Cina maupun Melayu di negara ini.
Zaid pula
dikatakan sudah mula 'bekerja' untuk menjadi wakil rakyat kawasan ini
setelah Dr Zainal sekian lama tidak mampu untuk menjalankan tugasnya
dengan baik kerana skit barah otak yang dialaminya itu.
"Walaupun
Zaid orang Kelantan tetapi dia sudah lama menjadi 'rakyat Selangor'
selepas bekerja dan tinggal di sini sejak sekian lama," kata seorang
pemimpin kanan PKR.
Halangan besar beliau dalam memenangi
kawasan ini adalah empat kawasan Felda yang ada dalam kawasan Hulu
Selangor Felda Gedangsa, Soeharto, Sungai Tengi dan Sungai Tengi
Selatan. Ia bakal menjadi kubu Umno.
Namun sejarah 13 tahun lalu
di mana ke empat-empat kawasan Felda ini mahu dijadikan zon industri
oleh bakal calon Umno kini, iaitu Tan Sri Muhamad, bakal menjadi mimpi
ngeri untuk Umno. Sekurang-kurang 70 keluarga kakitangan Felda yang
terpaksa bersara awal untuk menyambut kawasan industri itu tentu masih
merasa peritnya.
Jika Zaid dan PKR dengan sokongan penuh PAS dan
DAP boleh berbuat sesuatu di sini, sudah pasti angan-angan Umno untuk
menjadikan Hulu Selangor sebagai Bagan Pinang kedua bakal meleset.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan