KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Wilayah
Persekutuan (DPPWP) mahu Kementerian Pelajaran Malaysia (MOE)
memansuhkan bayaran bagi permohonan untuk menduduki Ujian Pemilihan
Calon Guru Malaysia (Malaysian Teacher Selection Test – MTeST).
Menurut
iklan yang dikeluarkan oleh Kementerian berkenaan sebelum ini, para
pemohon dikehendaki membuat bayaran RM 6 di kaunter Bank Simpanan
Nasional (BSN) bagi mendapatkan Nombor Pengenalan Individu (PIN)
sebelum dibenarkan mengisi borang permohonan secara on-line.
"DPPWP
difahamkan bahawa lebih 70 ribu pemohon telah membuat permohonan secara
online, namun hanya 50 ribu sahaja yang dipanggil bagi mengikuti ujian
MTesT diseluruh negara pada 28 Mac nanti.
"Ini bermakna 20 ribu lagi ditolak, walaupun telah membuat bayaran dan mengisi borang permohonan online.
"Dengan
itu, Kementerian berkenaan telah mengaut untung atas angin sebanyak RM
120 ribu hanya dengan menjual nombor pin sahaja," kata Ketua Dewan
Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dalam satu
kenyataan.
Jelasnya, bahagian pengambilan di kementerian itu
ketika dihubungi memberitahu bahawa pemilihan dibuat secara rawak
berdasarkan merit yang dikira secara berkomputer.
"Maknanya
pemilihan calon dibuat oleh komputer bukan pegawai penilai. Walaupun
hanya memohon untuk ikuti peperiksaan tetapi mereka sudah dikenakan
bayaran, sedangkan tidak semua pemohon akan dipanggil bagi mengikut
MTesT," tegasnya lagi.
Menurutnya lagi, keadaan tersebut berbeza
dengan apa yang diamalkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia
(SPA) di mana calon-calon kakitangan awam boleh mengisi borang online
secara percuma.
Manakala SPA akan membuat pemilihan sama seperti yang dibuat oleh MOE dan hanya calon yang layak sahaja yang akan dipanggil.
Sehubungan
itu beliau mahu bayaran bagi mendapatkan nombor PIN untuk membuat
permohonan secara online ini dimansuhkan kerana ianya tidak releven dan
mencuri wang rakyat yang begitu memerlukan pekerjaan.
"DPPWP
tidak melihat keperluan untuk MOE mengenakan bayaran pada peringkat
permohonan, dan perkara ini tidak sewajarnya menjadi amalan kerana
jelas menindas pemohon yang belum tentu dipanggil untuk mengikuti
peperiksaan tersebut", katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan