KUALA LUMPUR, 3 Mac: Kumpulan aktivis Reformasi menyeru
pengundi mengadakan bantahan, termasuk demonstrasi aman di kawasan Parlimen
masing-masing terhadap ahli-ahli Parlimen melompat parti di samping melahirkan
keyakinan penuh mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, mereka juga mengecam
budaya politik wang yang diamalkan oleh Barisan Nasional dan ejen-ejen mereka
kerana amalan itu adalah virus perosak bangsa dan negara Malaysia.
Kumpulan Reformis adalah penyokong tegar Anwar yang menggerakkan perjuangan
reformasi selepas Anwar dipecat dari menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Mereka sudah lama senyap tetapi kini mula bersuara kembali melalui kenyataan
ini.
Kumpulan tersebut yang mendakwa diberi mandat untuk mewakili lebih 2,000
aktivis reformasi seluruh negara dengan tegas menyatakan sokongan penuh kepada
kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.
Mereka percaya hanya Anwar mempunyai iltizam yang kuat dan mampu untuk
membawa agenda reformasi serta perubahan di negara ini dan menyokongnya sebagai
bakal Perdana Menteri Malaysia.
Mereka juga menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti-parti yang
bergabung dalam Pakatan Rakyat, kerana agenda Pakatan Rakyat jelas membawa
perubahan, menghapuskan rasuah dan merealisasikan hasrat 'Malaysia Baru'.
Bagi mereka, tindakan ahli-ahli Parlimen yang melompat parti adalah tindakan
golongan pengecut yang jelas merupakan pengkhianatan kepada pengundi yang telah
mengundi mereka dalam pilihan raya umum lepas untuk mewakili mereka melaksanakan
agenda perubahan seperti yang dinyatakan dalam manifesto.
“Oleh itu, kami mencabar golongan ini supaya bersikap 'jantan' dengan
mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing bagi membolehkan pilihan raya kecil
diadakan. Hanya dengan cara itu dapat mengembalikan mandat kepada rakyat untuk
menentukan sama ada tindakan mereka mendapat restu pengundi,” ujar kenyataan
tersebut.
Mereka turut menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya
menyiasat jumlah wang yang ditawarkan kepada ahli-ahli Parlimen yang melompat
parti dan mengheret mereka ke muka pengadilan.
Wakil-wakil aktivis reformasi terdiri daripada Nasir Isa, Mohd Hamdi Mohd
Said, Badaruddin Ismail, Syed Baniamin Syed Baharuddin, Norzairi Jantan, Sow
Hock Hin, Badrulhisham Mohd hanafiah, Mohd Hafifudin Nordin, Pospan Lingam
Sinakanu, Abdul Rahman Hackeem, Zainal Misran (Enot), Zunar dan Haili Ahmad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan