PETALING JAYA, 9 Mac: Mungkin takut hilang kuasa
politik dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dan Pulau
Pinang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak tuntutan
dua kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu untuk mengadakan pilihan raya
peringkat kerajaan tempatan.
Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham
Shaharin yakin bahawa Najib sedar pengaruh politik Umno di
negeri-negeri terbabit kian rapuh.
“Najib tidak akan buat pilihan raya dia dua negeri ini kerana dia
yakin bahawa mereka akan tetap kalah di kebanyakan kawasan, walaupun
mereka selalu kata bahawa mereka sudah mulai kuasai kedua-dua negeri
ini,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.
Keengganan Najib menerima tuntutan Selangor dan Pulau Pinang itu
menurut Badrul, sekaligus mencerminkan bahawa kerajaan pimpinan Najib
tidak bercita-cita memulihkan sistem demokrasi tanah air.
“Kalau demokrasi dapat menghilangkan kuasa politik mereka, maka
rejim ini akan cuba sedaya-upaya tolak apa jua sistem pemilihan
(termasuk) pilihan raya kerajaan tempatan,” jelasnya.
Badrul berkata, rakyat sepatutnya dibenarkan memilih ahli majlis PBT mereka sendiri kerana mereka membayar cukai.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa maksud ‘politiking’
yang cuba dielak Najib itu bermaksud Umno BN tidak mahu rakyat
didedahkan dengan isu royalti minyak, cukai barangan dan perkhidmatan
(GST), misteri pembunuhan Altantuya, masalah ekonomi dan sebagainya.
Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat di
Selangor dan Pulau Pinang kerana berani menuntut diadakan pilihan raya
kerajaan tempatan atas nama demokrasi.
Cadangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan itu kembali
timbul apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengutuskan
sepucuk surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof supaya menguruskan proses pilihan raya
ahli majlis bagi mengisi PBT.
Ianya membabitkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).
Begitu juga dengan inisiatif Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim yang mengutuskan surat tuntutan yang sama kepada SPR.
Sejak diperkenalkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 40 tahun yang
lalu, pilihan raya kerajaan tempatan tidak lagi diadakan di tanah air.
Ketiadaan pilihan raya kerajaan tempatan itu dikaitkan dengan pengisytiharan darurat pada 3 September 1976.
Pakatan Rakyat sebelum ini meletakkan pilihanraya kerajaan tempatan
dalam manifesto Pilihanraya Umum ke-12 lalu sebagai salah satu
perubahan yang akan dibuat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan