Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
GUAR CHEMPEDAK – Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, bantuan yang disampaikan oleh kerajaan negeri adalah terus kepada mereka yang memerlukan dan tiada ‘pilih kasih’ atau diskriminasi.
Katanya, adalah menjadi dasar kerajaan negeri memastikan semua rakyat diadili demi mencapai kesejahteraan rakyat.
“Dasar kebajikan terhadap rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan sekarang ialah memberi kepada yang berhak, tanpa mengira perbezaan fahaman politik, bangsa dan agama,” ujar beliau pada Majlis Penyampaian Bantuan Pejabat Kebajikan Masyarakat dan Skim Kafalah Daerah Yan di Dewan Serbaguna Guar Chempedak.
Katanya, bagi tahun 2010, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM14 juta khusus untuk kebajikan dan RM3.6 juta bagi tujuan Skim Kafalah.
Bantuan yang diterima oleh rakyat bukan sahaja disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi juga daripada lain-lain jabatan dan agensi.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan semua rakyat yang memerlukan menerimanya.
“Kebajikan bukan sahaja daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, kita juga ada peruntukkan daripada agensi-agensi lain seperti zakat, Tekun, Amanah Ikhtiar, MARA dan sebagainya.
“Jadi untuk bersikap adil kepada rakyat, kita perlu memastikan semua rakyat menerima hak mereka tanpa adapun yang terpinggir.
“Kita tak mahu jadi kes, di mana seorang penerima boleh terima bantuan daripada pelbagai agensi, sedangkan seorang lagi yang juga layak dipinggirkan.
Lazimnya, kata beliau, penerima bantuan perlu datang ke pejabat bagi menerima sumbangan tersebut, tetapi sekarang adalah menjadi hasrat kerajaan negeri memikirkan inisiatif yang mungkin agar mereka tidak perlu bersusah payah datang ke pejabat.
“Bagi daerah Yan, Pejabat Daerah telah memasukkan sejumlah amaun ke dalam akaun penerima agar mereka tidak perlu datang ke pejabat lagi.
“Kalau boleh kita salur bantuan ke rumah penerima, kakitangan bertanggungjawab perlu ziarah serta sampaikan sumbangan. Sebagai contoh, seorang penoreh, sehari pendapatan beliau adalah RM20, jadi bila dia perlu datang ke pejabat, dia perlu cuti, maka hilang RM20, dan tambah lagi dengan tambang teksi menuju ke pejabat,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan