Untuk Aljazira Tv klik webtv

Penghulu dan Ketua Kampung mesti lebih berperanan



Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM 

GUAR CHEMPEDAK – Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyeru kepada penghulu serta ketua kampung agar lebih bertanggungjawab dalam mendafar penduduk dengan e-Sinar bagi memastikan tiada rakyat terpinggir dalam menerima bantuan yang disalurkan oleh kerajaan.

Katanya, adalah menjadi masalah kepada kerajaan untuk menyalurkan bantuan Kafalah kerana masih ramai penduduk yang tidak berdaftar dengan e-Sinar.

Skim Kafalah yang telah diperkenalkan Januari 2010 bertujuan membantu golongan miskin dalam meringankan beban kewangan apabila berlaku kematian di kalangan ahli keluarga.

Ketua kampung perlu memastikan penduduk yang miskin telah mengisi borang e-Sinar, kemudian dihantar ke pejabat penghulu serta Pejabat Daerah, dan seterusnya ke Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk dikeluarkan kad.

Apa yang mengecewakan beliau, masih terdapat penghulu yang bersikap tidak bertanggungjawab terhadap amanah menjaga kebajikan rakyat.

“Dalam syarat Kafalah, penerima mestilah berdaftar dengan e-Sinar, masalahnya sekarang, ramai yang tak daftar. Penghulu kena pastikan borang e-Sinar yang telah diisi dihantar ke Pejabat Daerah dan proses seterusnya dapat dilaksanakan.

“Saya tak mahu macam sesetengah tempat yang borang ini disimpan di pejabat penghulu, maka rakyat yang layak tak berdaftar. Kita perlu amanah dan adil dalam menunaikan tanggungjawab. Ini adalah kebajikan, katakanlah orang itu layak menerima bantuan, tapi kita simpan borang dia, mahukah kita jawab di akhirat kelak? Ini adalah amanah,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pejabat Kebajikan Masyarakat dan Skim Kafalah Daerah Yan di Dewan Serbaguna Guar Chempedak.

Tambah beliau, bagi tiga bulan pertama, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM900,000 bagi pengagihan Skim Kafalah dan ianya telah disalurkan ke setiap akaun wakil rakyat.

Pada majlis itu, seramai 210 penduduk daerah Yan menerima sumbangan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah Yan berupa bantuan kewangan, kerusi roda dan basikal.

Sementara itu seramai 43 keluarga dari daerah Yan telah menerima sumbangan Skim Kafalah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan