Bagi mempastikan keselesaan hidup rakyat, kerajaan berusaha menyelesaikan masalah perumahan dan akan berusaha supaya semua rakyat dapat memiliki rumah sendiri.
Demikian diberitahu oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan YB Dato’ Ir Haji Phahrolrazi Md. Zawawi kepada wartawan Warta Darul Aman.
Katanya, keperluan rumah hari ini semakin meningkat berdasarkan jumlah yang mendaftar di Bahagian Perumahan mencecah 23 ribu pemohon.
“Jumlah ini adalah permohonan untuk rumah kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah. Rumah jenis ini dibina oleh GLC dan pihak swasta serta dibina di kawasan-kawasan ikut permintaan,” katanya.
Kerajaan menggalakkan pihak pemaju perumahan membina rumah mampu milik yang berharga RM150 ribu ke bawah seperti yang dibuat oleh Syarikat Seri Temin di Bandar Sejahtera di Pokok Sena. Rumah tersebut habis dijual di hari pelancaran lagi.
Manakala di Sungai Petani dan Kulim, katanya, bekalan rumah mampu milik ini sudah berlebihan yang telah diluluskan.
Selain itu pembangunan perumahan di daerah-daerah adalah mengikut permintaan dan kategori yang diperlukan ialah rumah mampu milik kerana rakyat golongan sederhana mampu membelinya.
“Kalau atas permintaan untuk rumah mahal tidak begitu banyak, permintaan mungkin datang dari pemaju yang mahu menjual kepada pembeli dari luar negeri Kedah. Ini berlaku di Bandar-bandar besar seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim,” katanya.
Menurut beliau lagi, mengikut perancangan perumahan tahun 2020 nanti, 60 peratus penduduk Kedah akan tinggal dalam taman-taman perumahan sementara 40 peratus tinggal di kampung tradisional atau kampung baru.
“Ini kerana generasi baru akan datang tidak ada tanah untuk membina rumah sendiri tetapi mereka ada pekerjaan dengan gaji bulanan untuk buat pinjaman membeli rumah. Mereka tidak mampu membeli tanah kerana tanah kampung bergeran besar tidak boleh buat pinjaman untuk tujuan ini.
“Rumah kampung tradisional tidak boleh buat pinjaman sebab takkan nak gadai satu geran yang besar libatkan harta orang lain. Hasilnya generasi yang kerja makan gaji dengan pendapatan sendiri akan beli rumah dalam taman,” katanya.
Trend ini juga, katanya, bergantung kepada cita rasa generasi akan datang yang suka duduk dalam kawasan perumahan yang ada kemudahan lengkap selain berdekatan dengan bandar dan pusat perniagaan. Ketika ini berlaku transformasi penduduk di mana kampung tradisional dan kampung baru ini akan mengecil dari segi peratus pertambahan penduduk.
Membasmi kemiskinan ditekankan kerajaan dalam merealisasikan cita-cita supaya rakyat hidup selesa. Untuk itu di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan juga Pejabat Daerah menjadi penyelaras kordinator kepada agensi-agensi yang memberi bantuan kepada rakyat terutama golongan miskin tegar. Miskin tegar ini adalah berpendapatan dibawah RM450 dan ketegori miskin pula sebanyak RM 720 seisi keluarga.
“Di peringkat ini pendaftaran dilakukan oleh e-Sinar dan kerajaan menyelaras agensi-agensi yang memberi bantuan supaya yang betul-betul layak sahaja menerima. Ini kerana sekarang ini masing-masing agensi memberi ikut permohonan kepada mereka.
“Jadi kita nak dapat maklumat permohonan yang belum dapat dan berapa agensi yang bagi bantuan. Agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zakat, Keda, Felcra dan agensi pusat serta Jabatan Pelajaran juga ada bantuan kepada pelajar sekolah. Selain itu bantuan perniagaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.
Ini diselaraskan oleh UPEN melalui pendaftaran e-Sinar di mana sehingga kini sebanyak 7,000 telah didaftarkan dan kemungkinan jumlah pendaftaran akan mencecah 20,000 orang.
Berhubung isu kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Pusat, beliau menjelaskan bahawa Negeri sentiasa memberi kerjasama erat kepada Kerajaan Pusat demi untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Katanya, mesyuarat sentiasa diadakan bagi mempastikan kelancaran projek-projek peruntukan Pusat yang melibatkan agensi kerajaan negeri.
“Seperti projek keretapi ‘double tracking’. Ini projek besar di bawah Kementerian Pengangkutan yang diserah kepada Syarikat Gamuda. Kerajaan Negeri cuma terlibat dalam pengambilan tanah dan masalah sosial seperti pemindahan setinggan, kelulusan pelan bangunan dan jejambat. Kita akan bantu melalui pihak berkuasa tempatan,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan