Untuk Aljazira Tv klik webtv

Selepas judi, mungkin zon pelacur selamat pula

BUTTERWORTH, 18 Mei: Naib Yang Dipertua II Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin (gambar) menyelar tindakan kerajaan membenarkan perjudian sempena bola sepak Piala Dunia pada bulan Jun depan.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan boleh meluluskan lesen untuk membenarkan perjudian dilaksanakan, maka tidak mustahil sekiranya suatu hari nanti ia akan merebak kepada perbuatan haram lain pula seperti zon pelacur selamat dengan alasan untuk mengelakkan Aids atau siplis dengan bersyarat pula.

"Judi adalah suatu perbuatan yang ternyata haramnya. Ia diharamkan oleh Allah dan tiada khilaf di kalangan ulama sekalipun, judi ini tetap haram.

"Kita juga meragui tindakan meluluskan lesen perjudian ini kerana pada saat ini penyakit sosial semakin parah dan tenat, keruntuhan moral di kalangan generasi muda juga semakin melarat, tiba-tiba lesen perjudian ini diberikan. Ia bukan saja mencemarkan nama baik kerajaan malah negara ini juga turut tercalar dengan pemberian lesen ini," katanya.

Beliau yang juga merupakan mantan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang menegaskan bahawa dalam apa jua situasi pertaruhan dan perjudian bola sepak Piala Dunia ini tidak seharusnya dibenarkan oleh sesiapa sahaja dan dalam apa jua keadaan.

"Mereka yang ketagih judi boleh menimbulkan natijah yang buruk bukan saja kepada diri mereka sendiri, malah akan memburukkan keadaan. Kemungkinan rumah tangga akan porak-peranda yang seterusnya akan mengakibatkan masyarakat berada dalam keadaan yang tidak tenang.

"Kalah judi dan berhutang boleh menimbulkan kesan yang lebih parah. Faktor ini juga harus menjadi perkiraan kepada mereka yang meluluskan lesen dan permit perjudian ini," tambahnya lagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan