Untuk Aljazira Tv klik webtv

Kes tipu Yayasan Sultan Mirzan, esok

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan esok untuk mendengar permohonan seorang lelaki warga Belanda, yang menghadapi pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi memperdaya sebuah yayasan diraja, untuk mendapatkan pasport yang ditahan sementara oleh mahkamah. 

Hakim SM Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas menerima permohonan tertuduh melalui peguamnya, Karpal Singh. 

Albert Zvonko Berdik, 65, yang menghadapi pertuduhan itu memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan sementara pasportnya dengan alasan dia akan ke Kemboja pada Sabtu ini untuk urusan perniagaan.

Pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Natrah Dollah tiada bantahan mengenai perkara itu.

Pada 4 Mei lalu, Berdik didakwa menggunakan satu dokumen disebut sebagai "bill of exchange, Bedford International Financial Group" didakwa bernilai 150 juta Euro (1Euro=RM4.21) kononnya untuk didermakan kepada Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Bagaimanapun, tertuduh mengetahui dokumen itu adalah palsu ketika ia diserahkan kepada yayasan tersebut di Istana Terengganu, Jalan Kia Peng di Kuala Lumpur pada 12 tengah hari 16 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan