ANAK - sebuah NGO yang mewakili generasi kedua dan ketiga anak peneroka Felda -
akan meneruskan rancangannya untuk mengadakan demonstrasi di ibupejabat Suhakam
di Kuala Lumpur Rabu ini.
Presidennya, Mazlan Aliman (kanan sekali) merayu
kepada kira-kira 1,000 peneroka Felda yang menghadiri konvensyen nasional
anjuran PKR di Jerantut semalam, supaya turut hadir beramai-ramai menyertai
demonstrasi pada 24 Februari ini.
Mazlan memberitahu
demikian ketika ditemui Malaysiakini di konvensyen tersebut. Beliau
turut membentangkan kertas kerja mengenai generasi baru Felda.
Di
Konvensyen itu, Mazlan menggesa supaya dimansuhkan Akta Penempatan Berkelompok
1960 yang didakwanya menjadi instrumen utama bertentangan dengan matlamat asal
Felda untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan petani dengan menggalakkan
mereka membersih, menanam dan akhirnya memiliki lebih 10 ekar
tanah.
Katanya, kesannya dapat dilihat di mana 80 peratus tanah yang
asalnya dibersih dan ditanam oleh peneroka, berakhir jatuh ke tangah Felda
Plantations.
Felda yang ditubuhkan sebagai sebuah agensi
pusat pada 1956, melancarkan tanah rancangan pertamanya dua tahun kemudiannya di
Bentong. Dengan penggubalan Akta Penempatan Berkelompok 1960, agensi berkenaan
telah beralih daripada pembasmian kemiskinan kepada mencatatkan keuntungan
optima.
Mazlan berkata peralihan tersebut telah menjadikan peneroka
petani penyewa, dengan pendapat antara RM800 hingga RM1,500 sebulan dalam bentuk
gaji bulanan, bergantung kepada harga semasa pasaran minyak kelapa sawit atau
getah.
Berikutan itu, katanya, skim yang bertujuan untuk
membasmikan kemiskinan akhirnya telah menambah beban hutang peneroka dan
merosakkan prospek masa depan anak cucu mereka, untuk keluar dari perangkap
kemiskinan.
Menurutnya, kini terdapat 1.3 peneroka di 317 tanah rancangan
Felda, dengan 800,000 daripadanya merupakan generasi kedua dan
ketiga.
Mazlan mendakwa, daripada 23,000 kakitangan kumpulan syarikat
Felda, hanya 5,400 orang dari kalangan anak cucu penerika Felda - dan daripada
jumlah itu, hanya kira-kira 100 orang yang memegang jawatan tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan