KUALA LUMPUR, 24 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz
Omar menasihatkan kerajaan supaya tidak meningkatkan tarif elektrik
kerana kenaikan tarif tersebut bakal membebankan rakyat kebanyakan,
walaupun kabinet petang ini dilaporkan tidak membuat keputusan sama ada
untuk menaikkan tarif elektrik atau tidak.
Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya berfikiran simplistik
menaikkan tarif elektrik disebabkan kenaikan bahan bakar di peringkat
antarabangsa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kerajaan dan
Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh untuk tidak menaikkan tarif elektrik
dengan menguruskan sumber tenaga domestik secara kreatif.
“Walaupun kos bahan bakar sedunia (seperti) minyak, gas dan arang
kian meningkat, kalau kerajaan (dan) TNB kreatif, mereka tak perlu
menaikkan tarif elektrik,” jelasnya.
Teroka tenaga hidro dan angin
Kretiviti dalam pengurusan sumber tenaga tersebut, menurut Mahfuz
termasuk meneroka sumber tenaga yang baru atau tenaga yang diperbaharui
seperti tenaga hidro.
“Saya akui memang kerajaan telah pun menjana tenaga hidro seperti di
Bakun, Bakun dan dua tiga empangan yang lain, bagaimana dengan sungai
yang begitu banyak di Malaysia.
“Tak cukup kerajaan bina empangan di Sungai Balui (Sarawak) saja,
bagaimana dengan sungai-sungai yang begitu banyak khususnya di Pantai
Barat Semenanjung kerana keperluan sumber tenaga lebih besar berbanding
di Borneo.
“Sekiranya kerajaan atau TNB sendiri kreatif, mereka akan membina
janakuasa hidro kecil-kecilan atau tenaga angin untuk menampung
keperluan sumber tenaga nasional,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik cadangan kerajaan era
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membina Empangan Bakun di
Sarawak.
Menurut beliau, Dr. Mahathir sepatutnya membina empangan tersebut di
Pantai Barat Semenanjung kerana keperluan perindustrian yang
menggunakan sumber tenaga terbanyak menumpu di garis geografi tersebut.
Ekoran itu, Mahfuz tidak menafikan bahawa pemilihan Bakun itu
mungkin untuk mencipta bajet perbelanjaan yang lebih tinggi untuk
kroni-kroni tertentu dalam parti pemerintah.
“Tidak termasuk kos pembinaan empangan bakun yang bernilai RM6
bilion, beberapa pihak mendapat manfaat bernilai lebih kurang RM2
bilion lagi dalam projek menanam kabel elektrik di dasar Laut Cina
Selatan hingga ke Tanjong Sedili (Johor) supaya elektrik boleh
dibekalkan ke Semenanjung.
“Kenapa tidak dibina terus empangan Pantai Barat Semenanjung saja,
sebab itu saya tak mahu menafikan kalau ada yang mendakwa pembinaan
Empangan Bakun tersebut untuk mengkayakan kroni-kroni tertentu saja,”
ujarnya.
Tenaga Hijau
Selain meneroka tenaga hidro, Mahfuz juga menasihatkan kerajaan
supaya menggalakkan penggunakan tenaga solar sebagaimana yang diamalkan
oleh negara-negara maju.
Mengambil contoh negara Jerman, Mahfuz berkata, kerajaan mereka akan
memberi insentif kepada rakyat yang menjana kuasa solar untuk keperluan
harian.
“Maksimum kuasa yang boleh dijana (adalah) 6 megawatt sedangkan
keperluan sumber tenaga harian kurang (dari) 1 megawatt, maka tenaga
itu dijual semula kepada syarikat tenaga atau kerajaan yang memberi
insentif.
“Agak-agak rakyat di sana sanggup tak berbelanja lebih 20 ribu dolar
suatu satu janakuasa solar yang mini, kalau pembayaran tersebut
dilakukan secara ‘auto-subsidi’ di mana lebih sumber kuasa solar yang
dijana dikira sebagai bayaran balik,” ujarnya.
Di sampung itu, Mahfuz menjelaskan bahawa kerajaan dengan kerjasama
beberapa syarikat yang menjana sumber kuasa memperkenal polisi-polisi
sampingan supaya sesuai dengan budaya menggalakkan rakyat menggunakan
tenaga dari kuasa solar.
“Mereka perkenal potongan harga 20 peratus hingga 35 peratus,
umpamanya pagi konsumer yang menggunakan sumber tenaga elektek antara
jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi umpamanya untuk mengurangkan
penggunaan ‘tenaga secara mendadak’ khususnya pada waktu bekerja.
“Tengah malam sampai pagi, sekeluarga yang di rumah betul-betul
menggunakan alat elektronik seperti mesin basuh, seterika, pendingn
hawa dan sebagainya secara maksimum kerana harga lebih murah, maka
secara tak langsung mengurangkan mereka menggunakan tenaga pada siang
hari atau waktu pejabat.
“Kalau kos penyaluran mendadak (cost of distribution) boleh
dikurangkan, bermakna kos pengurusan tenaga pun boleh dikurangkan
kerana kos ini merupakan salah satu faktor yang digunakan oleh TNB atau
kerajaan dalam menentukan tarif elektrik semasa,” jelasnya.
Tambah Mahfuz lagi, pengenalan ‘Polisi Mampan’, iaitu polisi ‘menang
sama menang’ tersebut sekaligus mengubah paradigma rakyat dan kerajaan
dalam menggunakan sumber tenaga elektrik dan tenaga yang diperbaharui.
“Sekarang, penggunaan solar sudah menjadi suatu status di kalangan
rakyat pertengahan, kerana rakyat mampu menggunakan (tenaga solar)
kerana kerajaan sendiri mengiktiraf mereka dan memang kerajaan berjaya
mengubah paradigme mereka dengan pengiktirafan itu,” jelasnya.
Membandingkan dengan kerajaan Jerman, Mahfuz menganggap kerajaan
Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai kreativiti dalam menangani
masalah bahan bakar dunia yang kian meningkat, malah kerajaan juga
gagal merancang polisi penggunaan tenaga yang diperbaharui seperti di
semua negara dalam Kesatuan Eropah (EU).
“Kalau di negara-negara EU, memang kerajaannya mensasarkan 25 hingga
45 peratus penggunaan tenaga domestik pada tahun 2020 kelak mesti dari
sumber tenaga yang diperbaharui, kita hanya ada Wawasan 2020 saja sebab
kerajaan kita tidak kreatif dan TNB kita juga mungkin tidak kreatif,”
jelasnya.
Di mana biodiesel kerajaan
“Dulu kerajaan bising dengan projek biodiesel sebagai tenaga
alternatif, apabila bahan bakar dunia meningkat, di mana projek-projek
ini untuk membantu TNB menguruskan sumber tenaga domestik,” soalnya.
Mengakui bahawa kerajaan dan TNB terpaksa menanggung subsidi
disebabkan harga arang batu sedunia yang kian meningkat, beliau turut
mencadangkan kerajaan menjana tenaga bioethanol menggunakan bahan
buangan domestik.
“Kerajaan selalu kata mereka perlu beri subsidi lebih untuk arang
batu dalam (mata wang) USD sedangkan mereka menanggung kos akhir yang
lebih kerana rakyat membayar tarif elektrik menggunakan mata wang RM
(Ringgit Malaysia),” jelasnya.
“Tapi, kalau kerajaan guna tenaga bioethanol, iaitu tenaga yang
diperbaharui menggunakan hampas kelapa sawit, adakah perlu menggunakan
USD lagi sedangkan ia boleh diperoleh di Malaysia sendiri.”
Disebabkan itu, Mahfuz berkata, kerajaan seharusnya menggunakan
bioethanol bagi menggantikan biodiesel kerana sumber tenaga yang
diperbaharui itu boleh dijana menggunakan bahan buangan, sedangkan
biodiesel adalah sebaliknya.
Beliau juga meminta kerajaan menjalinkan hubungan dengan Mitsui
Corp., iaitu syarikat janakuasa dari Jepun yang sekarang ini sedang
giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama-sama
Sime Darby Berhad, iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam
menghasilkan bioethanol menggunakan hampas kelapa sawit.
Kos perbelanjaan
Bercakap tentang kos perbelanjaan (cost of financing) yang juga
merupakan salah satu faktor dalam menentukan tarif elektrik semasa,
Mahfuz turut mempersoal tindakan kerajaan memberi konsesi jana kuasa
kepada Kumpulan YTL milik Tan Sri Francis Yeoh.
“Kenapa mesti beri konsesi janakuasa elektrik kepada Francis Yeoh
dan janakuasa itu tiba-tiba dibina di Kerteh (Terengganu) sedangkan
keperluan sumber tenaga terbanyak sebenarnya lebih diperlukan di Pantai
Barat Semenanjung,” soalnya.
“Adakah kedudukan janakuasa di Kerteh itu supaya memudahkan YTL
mendapatkan sumber gas yang telah pun kerajaan subsidikan untuk YTL
bagi menjana tenaga elektrik domestik.”
Demi meletakkan pusat janakuasa tersebut di Kerteh, Mahfuz turut
memaklumkan bahawa kerajaan era 1980-an dahulu telah pun memberikan
RM800 juta wang rakyat kepada MRCB untuk menyalurkan sumber tenaga ke
Pantai Barat Semenanjung.
“Lebih kurang RM800 juta digunakan secara membazir untuk memberi
subsidi kepada YTL, sedangkan kerajaan hari ini berniat meningkatkan
tarif elektrik dan menarik beberapa subsidi yang nyata membebankan
rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan niat kerajaan dan TNB
sebelum ini untuk membangunkan sumber tenaga yang diperbaharui dengan
menggunakan nuklear.
“Baru-baru ini, kerajaan kata nak guna nuklear pula menggantikan
arang batu, adakah kerana kos pembinaan prasarana yang begitu besar,
lebih kurang RM4 bilion menyebabkan kerajaan dan pihak tertentu begitu
berminat untuk menghabiskan wang rakyat,” soalnya.
Tenaga berteknologi baru
Sekiranya kerajaan jujur mahu membangunkan tenaga alternatif
berteknologi baru, Mahfuz sekali lagi mencadangkan kerajaan supaya
meneroka sumber tenaga hasil teknologi geothermal.
“Kalau kita guna nuklear yang ditanam dalam bumi, 20 tahun akan datang pun belum tentu akan hilang kesan radiasi.
“Kalau guna teknik geothermal iaitu tenaga dihasilkan dengan air
yang diwapkan di perut bumi, ia lebih selamat untuk manusia,” jelasnya.
Cadangnya lagi, kerajaan atau TNB juga boleh menjana tenaga
‘gassification’, iaitu tenaga yang diperbaharui menggunakan tinja
manusia sekiranya kerajaan kreatif.
“Kalau kreatif, tahi pun boleh diperbaharui, tak perlu naik tarif elektrik,” ujarnya.